Saturday, September 15, 2018

Amalan Hari 'Asyura

5 Muharam 1440H

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera



Bagi orang Islam, wajib kita beriman dengan hari akhirat dan juga hari kebangkitan semula untuk menerima suratan amal yang dikerjakan semasa hidup. Jus­teru, dalam bulan pertama tahun hijrah ini, ada satu amalan yang amat dianjurkan bagi kita me­laksanakannya iaitu puasa sunat pada 10 Muharam. Ia juga di­sebut puasa hari asyura. Tahun ini tarikh itu jatuh pada Khamis, 20 September.

Galakan berpuasa ini disebut melalui hadis Nabi Muhammad SAW. Aisyah r.a berkata yang bermaksud: Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari asyura, dan apabila difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa). (Riwayat Bukhari & Muslim).
Orang beriman sifatnya sentiasa menunggu-nunggu peluang menambah amalan kebaikan atau taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Justeru, kesempatan berada dalam bulan Muharam tidak akan dipersiakan.
Sebaliknya akan berusaha melakukan ibadat puasa sunat walaupun ia amat sukar kerana orang sekeliling kita bebas makan minum. Senarionya berbeza de­ngan puasa Ramadan.
Sebab itulah, baginda SAW menjelaskan ganjaran atau kelebihan bagi mereka yang berpuasa pada hari asyura ini. Sesungguh­nya kelebihan yang dijanjikan oleh ba­ginda SAW bagi sesiapa yang berpuasa sunat ini amatlah besar.
Antaranya, seperti diriwayatkan oleh Qatadah yang bermaksud: Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari asyura, lalu nabi SAW menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu. (Riwayat al-Tirmizi).
Selain berpuasa pada hari asyura, umat Islam juga digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata yang bermaksud: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu. (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat disunatkan berpuasa pada hari kesembilan dan hari ke-10. Ini kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (asyura) dan berniat berpuasa pada hari kesembilan (tahun berikutnya).
Menurut Imam al-Nawawi lagi: “Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya ber­puasa pada hari ke-10”. (al-Minhaj syarah Sahih Muslim, Bab al-Siyam)
Puasa juga adalah ibadat istimewa kerana ia menjadi rahsia dan hanya diketahui oleh Allah dan orang berkenaan. Sebab itu, ganjaran puasa bagi mereka yang ikhlas itu ditentukan sendiri oleh Allah SWT. Ini dijelaskan menerusi hadis qudsi. Bersabda Rasu­lul­lah SAW: Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada had­nya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya...(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa puasa ini menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, ber­sabda nabi SAW yang bermaksud: Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kelebihan Puasa Hari Asyura 9 & 10 Muharram


A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura


Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Perkara sunat yang perlu dilakukan pada Hari 'Asyura

1. Melapangkan masa untuk bersama keluarga atau belanja anak isteri, suami dan isteri-isteri.
fadhilat - Allah s.w.t. akan melapangkan hidupnya pada tahun ini. 

  
2. Memuliakan fakir miskin.

fadhilat - Allah s.w.t. akan melapangkannya dalam kubur nanti. 
  
3. Menahan marah.

fadhilat - Di akhirat nanti Allah s.w.t. akan memasukkannya
ke dalam golongan yang redha. 
  
4. Menunjukkan orang sesat.
fadhilat - Allah s.w.t. akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya. 
  
5. Menyapu atau mengusap kepala (ubun-ubun) anak yatim
fadhilat - Allah s.w.t. akan mengurniakan sepohon pokok di syurga
bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya. 
  
6. Bersedekah.
fadhilat - Allah s.w.t. akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

 7. Memelihara kehormatan diri.
fadhilat - Allah s.w.t. akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat,
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu
lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'.
  
9. Bercelak.
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu. 
  
10. Membaca 'Qulhuwallah' hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah s.w.t. akan memandanginya dengan pandangan Rahmah diakhirat nanti. 
  
11. Sembahyang sunat empat raka'at.
fadhilat - Allah s.w.t. akan mengampunkan dosanya walau telah
berlarutan selama 50 tahun melakukannya.

lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat raka'at kerana Allah Taala'
Pada raka'at pertama dan kedua selepas fatihah di baca 'Qulhuwallah' sebelas kali. 
  
12. Membaca.
'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini . 

13. Menjamu orang berbuka puasa.
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa. 
  
14. Puasa.
Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada api neraka.


Insya'allah..

Bukan semua yang tercatat diatas tu tepat. Tapi mana-mana yang elok tu ambillah ia sebagai amalan yang baik dan mana-mana yang tidak betul itu adalah kesilapan serta kealpaan manusia yang memang bersifat lemah dan baharu.

Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan Kepada Yang Lain-Lain. Sila share
  

Kredit:

1)  http://www.utusan.com.my/rencana/utama/puasa-sunat-asyura-menghapus-dosa-setahun-1.747199#ixzz5RAGIv8KJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2) http://www.haluan.org.my/
3)  rakangroup & http://blogtokwan.blogspot.com/2012/11/perkara-sunat-di-hari-asyura.html

No comments:

Post a Comment